IPOH: Banjir yang melanda dua daerah di Perak, bukan banjir biasa seperti yang pernah berlaku sebelum ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata, ia bukan banjir kilat, sebaliknya banjir termenung luar biasa yang mengambil masa lebih lama untuk surut.

Menurutnya, banjir yang berlaku sebelum ini biasanya disebabkan paras Sungai Perak meningkat dan air dari sungai lain serta parit tidak dapat mengalir ke sungai berkenaan.

“Sekarang tidak begitu, semalam saya pergi ke Gerik, paras air Sungai Perak macam biasa.

“(Kali ini punca banjir disebabkan) ada air yang turun dari bukit (terlalu banyak)... begitu lebat sekali hujannya dan kandungan air yang begitu besar tak dapat ditampung oleh perparitan yang sedia ada.

“Nak kata banjir kilat pun tidak sebab ia sudah dipanggil banjir termenung, ia mengambil masa yang agak panjang (untuk surut),” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran pusat strok Hospital Pakar KPJ Ipoh pada Sabtu.

Menurutnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang berusaha untuk menyediakan saliran air keluar dari kawasan banjir itu.

Setakat ini, dua daerah - Hilir Perak dan Kerian masih dilanda banjir dengan 203 mangsa daripada 63 keluarga ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS).